Beberapa hari yang lalu, saya telah membaca satu artikel menarik berbentuk cerita di satu majalah yang telah dibeli oleh adik saya. Secara ringka ceritanya begini :
Seorang pemuda ingin belajar berenang dan telah berjumpa dengan seorang guru renang. Lumrah sebagai seorang pelajar, maka bertanyalah ia pelbagai teknik-teknik renang kepada gurunya. Daripada teknik-teknik yang tinggi sehinggalah kepada teknik-teknik yang mudah.
Namun begitu, pemuda itu tetap tak pandai berenang walaupun sudah puas bertanya pelbagai soalan sampai guru tu pun pening kepala. Lalu disuruh lah pemuda itu berjumpa dengan gurunya. Dalam hati pemuda itu, wahh satu idea yang menarik. Belajar dengan guru kepada guru.
Maka berjumpalah pemuda itu dengan guru kepada gurunya itu. Sebaik sahaja guru tersebut mengetahui masalah pemuda itu, terus dia campakkan pemuda itu ke sungai. Meronta-rontalah pemuda itu meminta tolong sambil cuba menyelamatkan diri daripada lemas. Guru tersebut hanya membiarkan sahaja.
Ketika itu, teringatlah ia segala ajaran gurunya. Dengan segera pemuda itu mengaplikasikan teknik-teknik yang telah dipelajarinya selama ini dan hasilnya…….. dia dah pandai berenang
Kesimpulannya, banyak bertanya tak salah. Bak kata orang-orang tua malu bertanya sesat jalan. Tetapi jangan lupa berani mencuba dan bereksperimen dengan apa yang telah dipelajari. Jangan takut gagal atau tidak berjaya kerana sememangnya itulah adat belajar. Mana ada orang baru belajar kali pertama terus je berjaya. Bahkan orang yang berjaya adalah orang yang mempelajari kesilapannya.
Dan jangan sesekali belajar macam burung kakaktua. Sekadar menghafal dan mengingat tanpa memahaminya.
p.s ramai pelajar IT suka bertanya pasal programming tapi tak pernah cuba sendiri. Sampaikan nak tahu output pun, kena tanya orang lain.

Pingback/Trackback
duniaku | Apabila kita belajar tak pandai-pandai